Welcome to my blog!

~Great Minds talk about ideas, Average Minds talk about events, Small Minds talk about people~

Saturday, April 10, 2010

Berbohong - Ciri orang munafiq

Oleh : Ikhwan Karim

Imam Ghazali banyak sekali mengupas mengenai bahaya lidah. Dalam salah sebuah kitabnya Ihya Ulumuddin, memberikan tumpuan khusus mengenai bahaya lisan atau perihal lidah.

Melalui keupayaan akal, manusia berucap atau mengeluarkan kata-kata melalui perantaraan lidah. Lidah merupakan alat yang membantu manusia menterjemah dan menyampaikan sesuatu perkara melalui kod-kod bahasa, sebagai ungkapan perasaan, pendapat, pengetahuan dan sebagainya.

Lidah manusia bukan sahaja boleh mengungkapkan rasa syukur atas kebesaran Allah S.W.T., malah boleh disalahgunakan dengan pelbagai cara. Tanpa pancaran iman dan nilai etika, menurut Imam Ghazali, menerusi lidah akan berlakulah pendustaan (pembohongan), buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk, pertelingkahan, mengumpat, melaknat dan membicarakan sesuatu dalam keadaan kesat, kasar dan penuh dengan kesombongan.

Islam menghubungkan akhlak dengan keimanan seseorang individu dan menganggap orang yang paling mulia akhlak itu adalah orang yang paling tinggi darjat keimanannya. Oleh itu tidaklah menjadi ketakjuban kepada kita bahawa adakalanya mereka yang berpura-pula alim kucing, di depan mata pijak semut pun tak mati, bila di belakang dialah merupakan yang terhandal sekali berbohong. Allah berfirman dalam surah al-Hajj ayat 30 bermaksud: "Hendaklah kita menjauhi perkataan-perkataan dusta."

Peribahasa lama Melayu menyebut, "kerana lidah (mulut) badan binasa" atau "kerana pulut santan binasa" memberikan kita kepada satu ingatan yang tegas. Untuk hidup dalam suasana yang tenteram, aman dan damai, hendaklah diawasi lidah kerana melaluinyalah tutur kata akan menjadi lebih benar, beradab dan bahasanya lebih bersopan. Sikap suka berbohong bukan sahaja menimbulkan kemarahan orang yang mendengarnya, malah menimbulkan implikasi buruk kepada si pembohong itu sendiri.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Tidak beriman seseorang itu dengan sempurna sehingga ditinggalkan pembohongan sama ada semasa senda gurau atau semasa bersengketa atau perbalahan."

Tabiat suka berbohong termasuk dalam kategori dosa-dosa besar setelah syirik (menyekutukan Allah) dan durhaka terhadap kedua orang tua. Ini ditegaskan dalam sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Mahukah kamu aku tunjukkan perihal dosa-dosa besar? Kami menjawab: Ya, tentu mahu wahai Rasulullah. Rasulullah menjelaskan: Menyengutukan Allah, durhaka kepada kedua orang tua. Oh ya, (ada lagi) Iaitu perkataan dusta." (Riwayat Muttafaq Alaih)

Jelaslah betapa besarnya pengaruh lidah dalam kehidupan manusia. Manusia yang dapat mengawal lidahnya, tidak mengucapkan kata-kata yang boleh menyebabkan kemarahan orang lain, bukan sahaja disanjung malah dianggap mempunyai budi pekerti yang mulia. Manusia seperti ini disanjung tinggi sebagai yang beradab, bersopan dan jika tidak lagi bersama kita, jasanya akan tetap dikenang, perilakunya menjadi buah mulut masyarakat untuk dicontohi. Buah fikirannya akan tetap harum semerbak, malah menjadi bahan renungan yang mendalam, sebagaimana kita menghormati buah fikiran Buya Hamka, meskipun ditinggalkannya lebih setengah abad lalu. Katanya: "Sesekali bukan merdeka seseorang yang tidak menjaga kehormatan dan tidak tahu harga diri. Yang tidak mempertahankan pendirian yang timbul dari fikiran sendiri, dan akal yang telah menimbang buruk dan baik. Kalau bertemu suatu perkara yang berlawanan dengan akalnya, tidak juga dinyatakannya keyakinan, alamat kemerdekaannya telah hilang."

Demikian juga untuk mengenali ciri-ciri munafik ke atas seseorang ialah di mana bila bercakap ia berbohong.
Daripada Abdullah bin Amru bin Al-Aas bahawa Nabi s.a.w. bersabda bermaksud: "Empat perkara yang menjadikannya seseorang itu munafik dan jika terdapat satu daripadanya maka ianya mempunyai ciri nifaq sehingga ditinggalkan iaitu apabila diberi kepercayaan dia khianati, bila bercakap dia bohong, bila berjanji dia mungkir, bila berkelahi dia kejam." (Riwayat Muttafaq Alaih)

Allah berfirman di dalam al-Quran surah Qaaf ayat 30 bermaksud: "Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)."

Ingatlah bahawa setiap pergerakan kita sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid. Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, prasangka buruk serta bercakap bohong. Setiap apa yang diucap akan diperjawabkan di akhirat kelak. Hanya perkataan-perkataan yang diredhai Allah akan dicatit, manakala perkataan-perkataan yang mendatangkan kebencian Allah akan dicatit atas kemurkaan-Nya sampai hari qiamat.

Nabi Muhammad s.a.w. memberi amaran dalam dua buah hadith yang bermaksud: "Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya) akan dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat." (Riwayat Muslim)
"Seseorang yang sudah cukup disebut pendusta (pembohong) jika ia berbicara hanya atas dasar setiap apa yang ia dengar." (Riwayat Muslim)

Tutur kata yang benar dan baik perilaku akan memberikan kita kekuatan. Tanpanya menyebabkan kita akan hancur berkecai, sebagaimana hancurnya burung Phoenix dalam metos sejarah tamadun manusia sepanjang peradaban.

Daripada Muaz, katanya Rasulullah s.a.w. memegang tanganku sambil berjalan lalu bersabda bermaksud: "Wahai Muaz! Aku wasiatkan kamu supaya bertaqwa kepada Allah dan bercakap benar, iaitu menepati janji, menunaikan amanah, meninggalkan khianat dan mengasihi anak-anak yatim, memelihara jiran tetangga, mengawal kemarahan dan lembut percakapan, menyebarkan salam dan taat setia terhadap pemimpin yang adil, bertafaqun memahami al-Quran, kasih akan akhirat, takut hari hisab, pendek angan-angan, baik amalan. Aku larang kamu daripada memaki hamun orang-orang Islam atau mempercayai pembohong atau mendustakan orang yang benar atau menderhakai Raja yang adil atau melakukan kerosakan di muka bumi. Wahai Muaz! "Ingatlah Allah pada setiap pokok dan batu, dan bertaubatlah setiap dosa yang sabit secara sulit, yang secara terang." (Riwayat Baihaqi)

Rasulullah s.a.w. pernah menghadapi dilema dan mengganggu perasaannya ketika menghadapi fitnah atau pembohongan golongan munafiq mengenai isterinya yang paling dicintai telah berbuat serong dengan sahabat Rasulullah s.a.w. yang masih muda bernama Safawan. Namun Allah Taala sendiri yang membersihkan 'Aisyah dari tuduhan yang hina itu melalui wahyu-Nya dalam surah an-Nur ayat 11 hingga 23.
"Inilah tipu daya dan kerosakan serta kejahatan yang datang dari golongan munafiq dalam mana-mana masyarakat dan adalah kewajipan untuk menjaga daripada kemudharatannya serta daripada fitnah dan pembohongan yang dilemparkan untuk memecahkan perpaduan umat Islam."

Berhubung perkara pendustaan dan pembohongan ini Allah berfirman bermaksud: "Mahukah Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu) sedangkan kebanyakan beritanya adalah dusta." (Surah asy-Syuaraa' ayat 221 - 223)

Segala tingkah laku, tutur kata sama ada yang terlafaz atau tidak merupakan keluhuran budi seseorang dan kerana itu segala yang benar-benar dilarang oleh Islam adalah bertujuan mengelak daripada berlakunya kerenggangan hubungan persaudaraan yang sepatutnya terjalin erat. Perlakuan buruk, yang tidak mengambil kira nilai budi bahasa dan peribadi mulia, akan memutuskan ikatan kasih sayang yang akhirnya menimbulkan kebencian di hati semua pihak.

Rasulullah s.a.w. ditanya tentang kelakuan apakah yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam syurga. Jawab baginda: "Taqwa kepada Allah dan keindahan akhlak, dan ketika baginda ditanya: "Apakah yang paling banyak memasukkan orang ke dalam neraka?" Baginda menjawab: "Kejahatan mulut dan kemaluan".

Kemudian Allah memberi amaran kepada golongan yang suka berbohong dan berdusta di dalam firman-Nya bermaksud: "Maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, dan mendustakan kebenaran sebaik-baik sahaja kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka jahanam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang kafir? (Surah az-Zumar ayat 32).

Friday, April 9, 2010

Nak Tambah Rezeki, Bagaimana Caranya? (Mesti Baca!!!)

Oleh: Ustaz Zaharuddin

Telah banyak kali rasanya disebutkan oleh ribuan malah jutaan ilmuan Islam di seluruh dunia, bahawa menderma dan bersedeqah itu menambahkan rezeki dan bukan mengurangkannya. Namun sudah tentu akan tetap wujud individu yang masih belum mampu memperolehi keyakinan bahawa rezekinya akan bertambah apabila menghulurkan sejumlah wang yang diusahakan dengan penat lelah itu.

Ini berlaku biasanya, disebabkan oleh minda individu terbabit yang mengecilkan skop rezeki hanya kepada penilaian naik turun harta dan wang di hadapan mata. Akibat dari itu, apa yang berkurang akan dirasa sentiasa menurun. Perasaan itu terus menerus mengunci dirinya untuk bersedeqah dan menyumbang, malah lebih serius apabila ada sebahagiannya menahan diri dari berbelanja untuk diri dan keluarganya.

MAKSUD REZEKI DALAM ISLAM

Bagaimana sebenarnya maksud rezeki di dalam Islam?
Rezeki di dalam Islam bukan hanya terhad kepada wang dan harta. Jangkauan rezeki yang disebut oleh Allah ta'ala dan Rasulullah terlalu amat luas meliputi rezeki yang rencam. Hakikatnya orang yang ‘memberi' dan menyumbang akan memperolehi pulangan dari Allah dalam bentuk yang amat pelbagai, juga mencakupi material dan spiritual.

Namun sebelum itu, perlu difahami, sebagaimana rezeki yang tidak boleh dikecilkan skopnya hanya kepada harta, begitu juga ‘pemberian' dan ‘sumbangan' yang juga tidak terhad kepada wang dan harta. Ia sangat nyata sebagaimana yang pernah saya tuliskan petikan hadis Nabi Muhammad dalam artikel saya sebelum ini . Bahawa mengajak orang kepada kebaikan dan melarangnya dari kemungkaran adalah sebuah pemberian berharga, membantu mereka yang melakukan kerja yang baik itu pemberian, dan menahan diri dari melakukan maksiat itu sendiri merupakan sebuah pemberian amat bermakna.

Apa yang jelas, semua jenis ‘pemberian' dan ‘sumbangan' itu adalah amalan kebajikan apabila ia menepati dua syarat yang paling minima iaitu :-
1) Ikhlas kerana Allah
2) Ia berupa sumbangan ke arah kebaikan berdasarkan penilaian hukum Islam.

Justeru, apa sahaja yang disumbangkan, sama ada idea, ilmu, teguran, nasihat, tenaga untuk kerja, masa, perasaan, emosi dan sebagainya untuk membawa kebaikan untuk Islam, ia adalah sumber terbukanya rezeki di sisi Islam. Ia juga merupakan sumber kewujudan unsur ‘berkat' di dalam kehidupan dan harta.

Setinggi-tinggi darjat insan soleh, dia mampu mengekang dirinya di ketika menyumbang dari terpengaruh oleh fikiran atau bisikan seperti, "apa balasannya di dunia"?.

Apa yang akan menjadi dorongan dan motivasi utama hanyalah apa yang bakal diperolehi di akhirat. Bukan ganjaran di dunia yag difikirkan. Apa yang diinginkan untuk dunianya hanyalah memperolehi rezeki yang BARAKAH atau berkat.

Menurut para ulama ‘barakah' atau berkat itu adalah :-
هي ثبوت الخير الإلهي في الشيء؛ فإنها إذا حلت في قليل كثرته، وإذا حلت في كثير نفع، ومن أعظم ثمار البركة في الأمور كلها إستعمالها في طاعة الله عز وجل.
Ertinya : iaitu kepastian kebaikan disisi Ilahi pada sesuatu perkara, yang mana apabila ia jatuh kepada perkara yang sedikit ia akan menambah banyakkan ia, dan apabila ia jatuh kepada yang banyak, ia akan menambah manfaatnya, dan sehebat-hebat hasil keberkatan dalam seluruh perkara adalah apabila ia digunakan kembali untuk membawa ketaatan kepada Allah azza wa jalla. Walaupun begitu, tidak ramai manusia yang mampu mencapai darjat tersebut, dan masih ramai individu soleh yang melakukan kebaikan, namun masih sering terfikir-fikir tentang ganjaran buatnya untuk dinikmati di dunia ini lagi.

WHAT YOU GET BACK?
Hasilnya, ramai yang bertanya berkenaan ‘what will you get back?'

Bagi membuka minda kita semua akan bentuk-bentuk balasan yang mampu diperoleh hasil dari segala sumbangan kebaikan yang kita lakukan di dunia ini. Secara ringkas, saya bahagikan ganjaran yang boleh diperolehi sejak dari alam dunia ini lagi, semua ganjaran-ganjaran ini mempunyai dalil dan athar yang tersendiri, namun bagi mengelakkan terlalu panjang, saya tidak menyertakan semua dalilnya. Balasan tersebut adalah seperti berikut :-

a. Keberkatan dalam kehidupan berkeluarga
 • Rumahtangga kita didamaikan oleh Allah dari sebarang pergaduhan besar yang meruntuh kepercayaan dan kebahagian si suami, isteri dan anak.

• Hati dan fikiran dikurniakan ketenangan yang akhirnya memberikan kesan positif kepada produktiviti kita di tempat kerja dan tugas, lalu mendapat kenaikan gaji dan pangkat.

b. Kesihatan
 • Allah selamatkan kita dan keluarga dari penyakit.

Nabi bersabda :
صنائع المعروف تقي مصارع السوء والآفات والهلكات
Ertinya : Perlakuan perkara kebaikan mampu menghalang dari terjerumus dalam keburukan, kecatatan dan kebinasaan. (At-Tabrani, Al-Haitahami : sanadnya Hasan)

• Kita diselamatkan dari kemalangan dan bencana seperti di jalanraya, di dalam rumah, luar rumah, di tempat kerja dan sebagainya. Namun perlu diingat, ADA JUGA TERDAPAT HARTA YANG BERKAT TETAPI DITIMPA MUSIBAH DAN BENCANA, namun tanda berkatnya ia adalah bencana dan musibah itu membawanya lebih hampir kepada Allah dan bukan semakin jauh. Itulah fungsi keberkatan harta itu, ia hilang dan ditimpa musibah sebagai asbab untuk kebaikan tuan miliknya.JUSTERU, bukan tugas kita untuk menuduh harat si polan itu berkat atau tidak berkat setiap kali ditimpa musibah kerana kita TIDAK TAHU HAKIKAT SEBENARNYA.

• Dikurniakan zuriat yang sihat dan jika sakit sekalipun, ia tidak seteruk mereka yang lebih parah sakitnya.

c. Harta
• Dihindar dari mendapat kerjaya yang haram dan terselamat dari sebarang jawatan atau kenaikan pangkat yang memudaratkan masa hadapan. Perlu diingat bukan semua kenaikan pangkat itu baik untuk hati dan jiwa manusia, ada sebahagian besar jawatan yang menghancur dan mengubah habis jiwa kebaikan dalam diri seseorang kepada jiwa penerima rasuah, tamak, rakus kuasa dan sebagainya.

• Direndahkan minat dan nafsu kepada harta dan pendapatan haram serta diberi kekuatan untuk istiqamah dalam yang halal. Inilah yang boleh digelar sebagai salah satu dari cabang ‘zuhud', iaitu kebebasan jiwa dan hati dari keterikatan dengan harta dunia. Jika diperolehi, syukur dipanjatkan, jika ia hilang dan pergi tidaklah terlalu ditangisi.

• Diberikan rasa cukup dan selesa dengan pendapatan yang diperolehi kini walau zahirnya kelihatan kurang mencukupi. Inilah dinamakan oleh ulama tasauf sebagai Qana'ah iaitu berasa cukup dengan apa yang telah ada, tetapi tidak henti untuk terus menerus memperbaiki diri dan kerja.

• Kenderaan yang digunakannya jauh lebih baik dari kenderaan yang jauh lebih mahal darinya. Begitu juga harta-hartanya yang lain seperti rumah dan lokasinya, diberi rezeki oleh Allah untuk berada di persekitaran yang baik, berjiran dengan mereka yang tidak menimbulkan banyak masalah.

• Sumber pendapatan tambahan boleh datang secara tanpa disangka-sangka. Ia tidak semestinya dalam masa terdekat, ia mungkin berlaku 10 atau 20 tahun akan datang. Ini termasuklah di dalam tawaran Allah yang disebut di dalam durah at-Talaq, yang dinamakan oleh ramai sebagai ayat seribu dinar :

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شيْءٍ قَدْرًا
Ertinya : Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. ( At-Talaq : 2-3)

Namun perlu diperhati sejelas-jelasnya, ayat di atas mensyaratkan seseorang untuk menjadi ‘BERTAQWA' sebagai jalan dibuka jalan kemudahan dan kebaikan dari pelbagai sumber tidak dijangka. Tidaklah sama sekali tepat pandangan ramai yang mengaitkan ‘gantung' ayat tersebut di rumah dan kedai sebagai cara meningkatkan rezeki dan pendapatan, tanpa bersifat taqwa di dalam kerjaya, perniagaan dan tugasan. Sedangkan hakikatnya, taqwa itulah kuncinya, bukan dengan menggantung ayat tersebut dan sebagainya.

Ibn Abbas menegaskan maksud jalan keluar di atas sebagai jalan keluar dari perkara syubhat di dunia, jalan keluar untuk menghadapi kematian, dan kesukaran di hari kiamat. (Tafsir Al-Qurtubi)

d. Sekeliling yang baik
• Dipermudah oleh Allah untuk berada di tempat dan persekitaran yang baik dan tidak merbahaya untuk diri dan keluarga.

• Kewujudannya menjadi pelopor kepada kebaikan mereka yang disekitarnya, penyekat kepada kemaksiatan. Ia bertepatan dengan sebuah sabdaan Nabi:
إن من الناس مفاتيح للخير مغاليق للشر وإن من الناس مفاتيح للشر مغاليق للخير فطوبى لمن جعل الله مفاتيح الخير على يديه وويل لمن جعل الله مفاتيح الشر على يديه
Ertinya : Dari kalangan manusia ada yang menjadi kunci kebaikan dan penutup serta penghalang kepada kejahatan. Dan ada pula yang menjadi kunci kejahatan dan penutup kebaikan, bergembiralah bagi sesiapa yang dijadikan oleh Allah sebagai kunci kebaikan di tangannya, dan celakalah mereka yang kunci kejahatan di tangannya ( Riwayat Ibn Majah : Sohih )

KESIMPULAN
MashaAllah, terlalu banyak cara dan kaedah untuk Allah membalas baik sangka hambaNya dan amalan kebaikan hambaNya. Sama ada di dunia atau akhirat. Lalu apa yang menjadi penghalang kini hanyalah ‘hati' masing-masing. Jika hati itu masih belum mampu menyakini maha Pemurahnya Allah ta'ala. Masih belum boleh menyakini Allah akan membalasnya. Masih belum yakin wujudnya Allah dan ganjaran kebaikan-Nya.
Selagi itu, seseorang itu akan sentiasa dihambat pelbagai perasaan tamak, kedekut dan malas ketika ingin memberi.

Jalan awal penyakit tersebut adalah ‘malas' dan dikuti berterusan melakukan dosa dan berasa jalan ‘dosa' itu adalah cara pendapatan yang terbaik baginya.

Saya teringat, tatkala saya mengingatkan orang ramai perihal pelaburan haram, skim haram, skim cepat kaya, money game, skim piramid wang, MLM yang haram dan sebagainya, lalu berteriaklah beberapa orang yang tidak berpuas hati seraya berkata :

"Kami orang susah, ustaz bolehlah kata itu dan ini...cuba ustaz duduk di tempat kami selaku individu yang kurang berpendidikan, kerja berat tapi gaji sedikit. Itulah sahaja cara yang mudah untuk kami menambah pendapatan"

Individu seperti ini tidak sama sekali sedar, keterlibatannya dalam perkara haram HANYA AKAN LEBIH MENAMBAH JAUHNYA DIA DARI SEBARANG REZEKI HARTA DAN KETENANGAN. Nabi pernah bersabda :
لا يزيد في العمر إلا البرولا يرد القدر إلا بالدعاء وإن الرجل ليحرم الرزق للخطيئة يعملها
Ertinya : Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan[1], dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar al-Mu'allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu DITAHAN REZEKINYA disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya" ( Riwayat Ibn Majah, Ahmad Hadis Hasan)

Justeru, jangan jadikan posisi kesukaran diri di waktu ini sebagai excuse untuk melibatkan diri dalam perkara yang haram, kerana ia sama sekali bukan jalan keluar tetapi ia jalan buntu dan hanya akan melebarkan bencana terhadap diri dan keluarga.

Imam Ibn Kathir pernah mengulas bahawa apabila manusia melupakan soal dosa pahala dalam harta dan kehidupan mereka maka
وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
Ertinya : Tetapi mereka telah mendustakan ( tidak patuh kepada hukum Islam), maka kami rampas dari mereka apa-apa yang telah mereka usahakan (Al-A'raf : 96 )

PERKEMBANGAN POTENSI, JANGAN ASYIK MEMBUAT ‘EXCUSE'
Apa yang perlu dilakukan adalah memanfaatkan duit simpanannya untuk mempelajari ilmu yang boleh digunakan untuk memperkembang potensi diri, bukan dengan menceburi skim-skim haram itu. Dan kemudian mengemukan alas an serta excuses yang pelbagai. Lihat ulama tabi'en berkata :
من طلب العلم تكفل الله برزقه
Ertinya : Barangsiapa yang menuntut ilmu Allah seolah telah menjamin rezekinya ( Kanzul Ummal, 10/139)

Ilmu itulah yang akan menerangkan kita jalan untuk bekerja dengan sebaik mungkin, dalam keadaan halal dan seterusnya membuka lebih banyak pintu rezeki. Semua ini perlu dilakukan tanpa malas. Atas dasar itu Nabi mengingatkan :-
لو أنكم توكلون على الله حق توكله لرزقكم كما يرزق الطير تغدو خماصاً وتروح بطاناً
Ertinya : Kalau kamu benar-benar bertawakkal kepada Allah, nescaya akan diberikan rezeki kepadamu sebagaimana diberikan rezeki kepada burung-burung, yang keluar dengan perut lapar di pagi hari, pulang dalam keadaan kenyang.

Para ulama menyebut dengan jelas lagi terang, maksud tawakkal dalam hadis di atas merujuk kepada usaha, ilmu dan bersungguh dan sesudah itu bersangka baik kepada Allah.  Sesiapa yang bersangka baik kepada Allah, Allah akan menunaikan sangkaan baiknya. Begitu juga sebaliknya.

Akhir sekali, Nabi menasihatkan seorang sahabat yang agak kerap memohon bantuan harta dari Nabi s.a.w:-
يا حكيم إنّ هذا المال خضرة حلوة فمن أخذه بسخاوة نفس بورك له فيه، ومن أخذه بإشراف نفس لم يبارك له فيه، كالذي يأكل ولا يشبع

Ertinya : Wahai Hakim, sesungguhnya harta merupakan seperti buahan yang subur, manis lagi disukai, barangsiapa yang mengambilnya dengan jiwa yang zuhud (dan tidak meminta-minta) nescaya akan diberkati baginya pada harta itu, barangsiapa mengambilnya dengan tinggi diri (serta tamak) tiada berkat di dalamnya, sebagaimana orang yang makan tetapi tidak kenyang" (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sumber: http://www.zaharuddin.net/content/view/922/72/

Wednesday, April 7, 2010

Rahsia Solat Awal Waktu

Oleh: Ustaz Zahazan

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.

Pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu.

Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zuhur

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan... Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Waktu Asar

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita

Waktu Maghrib

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.
Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya .