Welcome to my blog!

~Great Minds talk about ideas, Average Minds talk about events, Small Minds talk about people~

Monday, November 4, 2013

Doa Akhir & Awal Tahun


~SALAM MAAL HIJRAH~

Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.

Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata:
"Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun" .




Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata

"Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan".




Monday, October 14, 2013

Waktu Bermulanya Takbir Raya



Takbir pada hari raya ada dua jenis;
1. Takbir Mursal atau Muthlaq (المرسل أو المطلق) iaitu takbir yang tidak terikat dengan sesuatu keadaan di mana ia dilaungkan dengan suara yang kuat di jalan-jalan raya, di masjid-masjid, di pasar-pasar, di rumah dan sebagainya di waktu siang atau malam.
2. Takbir Muqayyad (المقيد) iaitu yang dilaungkan selepas menunaikan solat sahaja (sama ada solat fardhu, jenazah atau solat-solat sunat).

Bilakah bermulanya takbir mursal dan bila pula berakhir?

Takbir mursal atau muthlaq bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada hari raya fitrah atau hari raya korban), dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan solat hari raya. Firman Allah;
وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu bertakbir membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (al-Baqarah: 185)

Berkata para ulamak; ayat di atas menjadi dalil disunatkan melaungkan takbir pada hari raya fitrah dan dikiaskan kepadanya hari raya korban.

Bilakah bermulanya takbir muqayyad dan bila berakhir?
a) Bagi hari raya korban, takbir muqayyad bermula bermula dari solat subuh hari ‘Arafah (iaitu tanggal 9 Dzulhijjah) hinggalah selepas solat asar pada hari Tasyrik terakhir (yakni hari raya ke empat).
Diriwayatkan dari ‘Ali dan ‘Ammar r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. bertakbir bermula dari hari ‘Arafah (selepas) solat subuh dan memutuskannya (yakni berhenti bertakbir) selepas solat asar hari terakhir Tasyriq”. (Riwayat Imam al-Hakim. Menurut Imam al-Hakim; hadis ini sanadnya soheh)

b) Bagi hari raya fitrah, bermula dari solat maghrib pada malam hari raya dan berakhir selepas solat subuh pada pagi hari raya.
Imam as-Syafi’ie dalam kitabnya al-Umm menyukai agar ditambah kepada takbir di atas selepas tiga kali mengucapkannya;
اللّه أكْبَرُ كَبيراً،والحَمْدُ لِلَّهِ كَثيراً، وَسُبْحانَ اللَّهِ بُكْرَةً وأصِيلاً، لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَلا نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدينَ وَلَوْ كَرِهَ الكافِرُون، لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ، لا إِلهَ إِلاَّ اللّه واللَّهُ أكْبَرُ
“Allah maha besar dengan sebesar-besarnya. Segala puji-pijian milik Allah dengan sebanyak-banyaknya. Maha suci Allah di waktu pagi dan petang. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Kami tidak menyembah melainkanNya sahaja dalam keadaan kami mengikhlaskan agama untukNya, sekalipun orang-orang kafir membenci. Tidak ada Tuhan melainkan Allah satu-satunya. Dia telah mengotakan janjiNya dan telah menolong hambaNya serta mengalahkan tentera-tentera bersekutu (dengan kekuasaanNya) semata-mata. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Allah maha besar”.

Tambahan ini menurut Imam Abu Ishaq as-Syirazi dalam al-Muhazzab, di ambil dari zikir Nabi s.a.w. ketika Sa’i di atas bukit Safa. (al-Majmu’, 5/36).
Wallahu a’lam.



Thursday, October 10, 2013

PUASA SUNAT 9 ZULHIJJAH


PUASA SUNAT (HARI 'ARAFAH)


Bilakah hari ‘Arafah? 

Hari ‘Arafah ialah hari ke 9 Zulhijjah. Ia adalah hari terbaik sepanjang tahun kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya pada hari tersebut dari neraka dari hari ‘Arafah” (Riwayat Imam Muslim).

Apa dalil bagi kelebihan puasa hari ‘Arafah?

Adapun disunatkan berpuasa pada hari tersebut, dalilnya ialah; hadis dari Abu Qatadah r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. ditanya tentang puasa hari ’Arafah. Baginda bersabda; “(Puasa hari itu) dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang” (Riwayat Imam Muslim).

Adakah sunat berpuasa pada hari ‘Arafah itu ada pengecualian?

Ya. Dikecualikan dari jamaah haji. Mereka tidak disunatkan berpuasa pada hari tersebut sebagai mencontohi Nabi s.a.w. dan juga untuk menjaga kekuatan bagi memperbanyakkan berdoa pada hari itu.

Maimunah isteri Rasulullah s.a.w. menceritakan; orang ramai ragu-ragu apakah Rasulullah s.a.w. berpuasa atau tidak pada hari ‘Arafah. Lalu ia (yakni Maimunah) menghantar kepada baginda satu bekas berisi susu tatkala baginda sedang berwukuf di Padang ‘Arafah itu. Lalu baginda meminum susu tersebut dengan dilihat oleh orang ramai kepadanya (Riwayat Imam Muslim).

Malah terdapat tegahan dari Nabi s.a.w. sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Hurairah r.a.; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. menegah dari berpuasa pada hari ‘Arafah bagi jamaah haji yang berada di ‘Arafah” (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim).

By USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL