Imam Ghazali banyak sekali mengupas mengenai bahaya lidah. Dalam salah sebuah kitabnya Ihya Ulumuddin, memberikan tumpuan khusus mengenai bahaya lisan atau perihal lidah.
Melalui keupayaan akal, manusia berucap atau mengeluarkan kata-kata melalui perantaraan lidah. Lidah merupakan alat yang membantu manusia menterjemah dan menyampaikan sesuatu perkara melalui kod-kod bahasa, sebagai ungkapan perasaan, pendapat, pengetahuan dan sebagainya.
Lidah manusia bukan sahaja boleh mengungkapkan rasa syukur atas kebesaran Allah S.W.T., malah boleh disalahgunakan dengan pelbagai cara. Tanpa pancaran iman dan nilai etika, menurut Imam Ghazali, menerusi lidah akan berlakulah pendustaan (pembohongan), buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk, pertelingkahan, mengumpat, melaknat dan membicarakan sesuatu dalam keadaan kesat, kasar dan penuh dengan kesombongan.
Islam menghubungkan akhlak dengan keimanan seseorang individu dan menganggap orang yang paling mulia akhlak itu adalah orang yang paling tinggi darjat keimanannya. Oleh itu tidaklah menjadi ketakjuban kepada kita bahawa adakalanya mereka yang berpura-pula alim kucing, di depan mata pijak semut pun tak mati, bila di belakang dialah merupakan yang terhandal sekali berbohong. Allah berfirman dalam surah al-Hajj ayat 30 bermaksud: "Hendaklah kita menjauhi perkataan-perkataan dusta."
Peribahasa lama Melayu menyebut, "kerana lidah (mulut) badan binasa" atau "kerana pulut santan binasa" memberikan kita kepada satu ingatan yang tegas. Untuk hidup dalam suasana yang tenteram, aman dan damai, hendaklah diawasi lidah kerana melaluinyalah tutur kata akan menjadi lebih benar, beradab dan bahasanya lebih bersopan. Sikap suka berbohong bukan sahaja menimbulkan kemarahan orang yang mendengarnya, malah menimbulkan implikasi buruk kepada si pembohong itu sendiri.
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Tidak beriman seseorang itu dengan sempurna sehingga ditinggalkan pembohongan sama ada semasa senda gurau atau semasa bersengketa atau perbalahan."
Tabiat suka berbohong termasuk dalam kategori dosa-dosa besar setelah syirik (menyekutukan Allah) dan durhaka terhadap kedua orang tua. Ini ditegaskan dalam sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Mahukah kamu aku tunjukkan perihal dosa-dosa besar? Kami menjawab: Ya, tentu mahu wahai Rasulullah. Rasulullah menjelaskan: Menyengutukan Allah, durhaka kepada kedua orang tua. Oh ya, (ada lagi) Iaitu perkataan dusta." (Riwayat Muttafaq Alaih)
Jelaslah betapa besarnya pengaruh lidah dalam kehidupan manusia. Manusia yang dapat mengawal lidahnya, tidak mengucapkan kata-kata yang boleh menyebabkan kemarahan orang lain, bukan sahaja disanjung malah dianggap mempunyai budi pekerti yang mulia. Manusia seperti ini disanjung tinggi sebagai yang beradab, bersopan dan jika tidak lagi bersama kita, jasanya akan tetap dikenang, perilakunya menjadi buah mulut masyarakat untuk dicontohi. Buah fikirannya akan tetap harum semerbak, malah menjadi bahan renungan yang mendalam, sebagaimana kita menghormati buah fikiran Buya Hamka, meskipun ditinggalkannya lebih setengah abad lalu. Katanya: "Sesekali bukan merdeka seseorang yang tidak menjaga kehormatan dan tidak tahu harga diri. Yang tidak mempertahankan pendirian yang timbul dari fikiran sendiri, dan akal yang telah menimbang buruk dan baik. Kalau bertemu suatu perkara yang berlawanan dengan akalnya, tidak juga dinyatakannya keyakinan, alamat kemerdekaannya telah hilang."
Demikian juga untuk mengenali ciri-ciri munafik ke atas seseorang ialah di mana bila bercakap ia berbohong.
Daripada Abdullah bin Amru bin Al-Aas bahawa Nabi s.a.w. bersabda bermaksud: "Empat perkara yang menjadikannya seseorang itu munafik dan jika terdapat satu daripadanya maka ianya mempunyai ciri nifaq sehingga ditinggalkan iaitu apabila diberi kepercayaan dia khianati, bila bercakap dia bohong, bila berjanji dia mungkir, bila berkelahi dia kejam." (Riwayat Muttafaq Alaih)
Allah berfirman di dalam al-Quran surah Qaaf ayat 30 bermaksud: "Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)."
Ingatlah bahawa setiap pergerakan kita sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid. Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, prasangka buruk serta bercakap bohong. Setiap apa yang diucap akan diperjawabkan di akhirat kelak. Hanya perkataan-perkataan yang diredhai Allah akan dicatit, manakala perkataan-perkataan yang mendatangkan kebencian Allah akan dicatit atas kemurkaan-Nya sampai hari qiamat.
Nabi Muhammad s.a.w. memberi amaran dalam dua buah hadith yang bermaksud: "Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya) akan dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat." (Riwayat Muslim)
"Seseorang yang sudah cukup disebut pendusta (pembohong) jika ia berbicara hanya atas dasar setiap apa yang ia dengar." (Riwayat Muslim)
Tutur kata yang benar dan baik perilaku akan memberikan kita kekuatan. Tanpanya menyebabkan kita akan hancur berkecai, sebagaimana hancurnya burung Phoenix dalam metos sejarah tamadun manusia sepanjang peradaban.
Daripada Muaz, katanya Rasulullah s.a.w. memegang tanganku sambil berjalan lalu bersabda bermaksud: "Wahai Muaz! Aku wasiatkan kamu supaya bertaqwa kepada Allah dan bercakap benar, iaitu menepati janji, menunaikan amanah, meninggalkan khianat dan mengasihi anak-anak yatim, memelihara jiran tetangga, mengawal kemarahan dan lembut percakapan, menyebarkan salam dan taat setia terhadap pemimpin yang adil, bertafaqun memahami al-Quran, kasih akan akhirat, takut hari hisab, pendek angan-angan, baik amalan. Aku larang kamu daripada memaki hamun orang-orang Islam atau mempercayai pembohong atau mendustakan orang yang benar atau menderhakai Raja yang adil atau melakukan kerosakan di muka bumi. Wahai Muaz! "Ingatlah Allah pada setiap pokok dan batu, dan bertaubatlah setiap dosa yang sabit secara sulit, yang secara terang." (Riwayat Baihaqi)
Rasulullah s.a.w. pernah menghadapi dilema dan mengganggu perasaannya ketika menghadapi fitnah atau pembohongan golongan munafiq mengenai isterinya yang paling dicintai telah berbuat serong dengan sahabat Rasulullah s.a.w. yang masih muda bernama Safawan. Namun Allah Taala sendiri yang membersihkan 'Aisyah dari tuduhan yang hina itu melalui wahyu-Nya dalam surah an-Nur ayat 11 hingga 23.
"Inilah tipu daya dan kerosakan serta kejahatan yang datang dari golongan munafiq dalam mana-mana masyarakat dan adalah kewajipan untuk menjaga daripada kemudharatannya serta daripada fitnah dan pembohongan yang dilemparkan untuk memecahkan perpaduan umat Islam."
Berhubung perkara pendustaan dan pembohongan ini Allah berfirman bermaksud: "Mahukah Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu) sedangkan kebanyakan beritanya adalah dusta." (Surah asy-Syuaraa' ayat 221 - 223)
Segala tingkah laku, tutur kata sama ada yang terlafaz atau tidak merupakan keluhuran budi seseorang dan kerana itu segala yang benar-benar dilarang oleh Islam adalah bertujuan mengelak daripada berlakunya kerenggangan hubungan persaudaraan yang sepatutnya terjalin erat. Perlakuan buruk, yang tidak mengambil kira nilai budi bahasa dan peribadi mulia, akan memutuskan ikatan kasih sayang yang akhirnya menimbulkan kebencian di hati semua pihak.
Rasulullah s.a.w. ditanya tentang kelakuan apakah yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam syurga. Jawab baginda: "Taqwa kepada Allah dan keindahan akhlak, dan ketika baginda ditanya: "Apakah yang paling banyak memasukkan orang ke dalam neraka?" Baginda menjawab: "Kejahatan mulut dan kemaluan".
Kemudian Allah memberi amaran kepada golongan yang suka berbohong dan berdusta di dalam firman-Nya bermaksud: "Maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, dan mendustakan kebenaran sebaik-baik sahaja kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka jahanam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang kafir? (Surah az-Zumar ayat 32).
No comments:
Post a Comment