Tajuk asal: Hak Kanak-Kanak Dalam Islam (2007)
Oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali
Timbalan Presiden ABIM
Islam sangat memandang berat soal pendidikan kanak-kanak dan memberi hak-hak yang sepatutnya kepada mereka. Islam telah menggariskan panduan yang tertentu serta cara dalam mendidik anak-anak sejak ia di dalam kandungan ibunya lagi malahan lebih awal daripada itu.Islam menggalakkan umatnya apabila memilih suami atau isteri hendaklah seorang yang mempunyai keperibadian yang mulia. Anak merupakan nikmat yang dikurniakan oleh Allah dan merupakan perhiasan dalam kehidupan manusia. Orang yang telah diberi nikmat ini sudah tentu memelihara dan mendidik dengan pendidikan Islam sebagai mensyukuri nikmat tersebut.
Menurut ahli Psikologi, kehidupan manusia ini terbahagi kepada dua peringkat. Peringkat pertama iaitu sejak ia lahir hingga berusia 18 tahun atau 20 tahun. Peringkat kedua iaitu berusia 20 tahun sehingga meninggal dunia. Pada peringkat pertama tadi, ia terbahagi kepada tiga bahagian iantu sejak lahir sehingga menjangkau umur 6 tahun, ketika berusia 6 tahun sehingga berusia 13 tahun manakala bahagian ketiga ketika berusia 13 tahun sehingga berusia 18 atau 20 tahun.
Kanak-kanak memerlukan kasih sayang
Kanak-kanak memerlukan kasih sayang daripada ibu bapa sepertimana ia berhajat kepada makanan dan minuman.Kasih sayang kepada anak-anak adalah merupakan sebahagian daripada pendidikan pertama yang sepatutnya diberi perhatian oleh ibubapa. Menurut ahli psikologi, kanak-kanak memerlukan kasih sayang disebabkan kepada tiga faktor utama iaitu:
Pertama: Kanak-kanak memerlukan kebahagian dan ketenangan dalam hidupnya. Melalui kasih sayang kepada kanak-kanak ,ia dapat merasai ketenangan dan kebahagiaan kerana mereka dilahirkan dalam keadaan lemah dan memerlukan pertolongan dan pergantungan kepada orang lain.
Kedua: Pembentukan dari segi pemikiran .Kanak-kanak yang terbentuk dari suasana kasih sayang yang sepenuhnya ,maka ia dapat membentuk pemikiran yang kreatif dan bernas.Di samping itu,kanak-kanak tersebut mempunyai daya ingatan yang kuat dan perangai yang baik.
Ketiga: Pembentukan dari segi masyarakat .Kanak-kanak yang diberikan kasih sayang sejak kecil lagi dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat dan mempunyai kasih sayang kepada masyarakat sekelilingnya.
Hak kanak-kanak sebelum dilahirkan
Antara keistimewaan syariat islam ialah ia telah menggariskan hak kanak-kanak sebelum kanak-kanak itu dilahirkan di dunia ini lagi.Antara hak-hak tersebut ialah:
1. Ikatan perkahwinan suami isteri yang sah.Islam melarang keras perhubungan diantara lelaki dan perempuan tanpa ada ikatan perkahwinan yag sah.Adalah menjadi hak kanak-kanak supaya ikatan ibubapanya merupakan ikatan yang sah dari segi syarak supaya keturunannya terpelihara.
2. Akidah ibubapa yang sama. Islam melarang seseorang muslim berkahwin dengan orang kafir kecuali ia memeluk agama islam. Seseorang lelaki yang hendak berkahwin hendaklah mencari perempuan yang solehah. Saidina Umar r.a pernah ditanya ; hendaklah seorang bapa memilih isterinya yang solehah, hendaklah menamakan anak-anaknya dengan nama yang baik dan hendaklah ia mengajarkan al-Quran.
3. Dilarang membunuh kanak-kanak dan membenci anak perempuan. Dalam masyarakat Jahiliah dahulu mereka membunuh kanak-kanak perempuan kerana menganggap ia boleh membawa malapetaka kepada keluarga. Oleh demikian semasa kedatangan Islam, Islam telah membawa sinar baru dalam kehidupan wanita serta mengangkat martabat mereka. Islam juga melarang membunuh kanak-kanak disebabkan takut kepada kemiskinan. Firman Allah yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana khuatirkan kealpaan dan kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya membunuh mereka itu adalah satu dosa yang besar."
4. Ibubapa perlu menyediakan persiapan untuk kanak-kanak yang bakal dilahirkan. Ibubapa hendaklah bersedia untuk mendidik anak-anak tersebut sehingga besar dengan didikan nilai-nilai murni dan mulia. Persiapan ini termasuk dari segi material dan kerohanian.
Hak kanak-kanak selepas lahir ke dunia
1. Azan di telinga kanan dan iqamat di telinga seorang bayi sebaik sahaja ia lahir ke dunia .Antara rahsia dan hikmah azan ini ialah supaya kalimat yang mula-mula sekali didengar ialah kalimat tauhid, kalimah mengesakan Allah, kalimah syahadah ,mengajak menunaikan solat dan menuju kejayaan. Diriwayatkan dari Abu Daud dan al-Turmizi dari Abu Rafie bahawa Rasulullah mengazankan di telinga Hassan bin Ali sebaik sahaja dilahirkan oleh Fatimah. Di samping itu juga ia bertujuan untuk menghambat syaitan yang sentiasa menjadi musuh kepada manusia dan bersedia menggodanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Siapa yang mendapat anak lalu ia azan di telinga kanannya dan diiqamatkan di telinga kirinya nescaya syaitan tidak dapat memudharatkan.”
2. Melakukan Tahnik, mencukur rambut dan Akikah. Tahnik bayi bererti menggosok-gosok langit-langit bayi dengan sedikit buah tamar yang telah dilecek atau dimamah supaya lembut. Disunatkan ketika memberikannya itu, kanak-kanak itu didoakan agar hidupnya sentiasa dalam keberkatan. Seeloknya orang yang hendak melakukan tahnik ini terdiri daripada orang yang soleh dan bertaqwa.
3. Mencukur rambut bayi ini dilakukan sebelum akikah dan sebaik-sebaiknya pada hari yang ketujuh dari kelahiran bayi. Ia merupakan sebagai lambang ibadat dan kesyukuran kepada Allah. Akikah ialah kenduri kesyukuran dengan menyembelih binatang sempena kelahiran bayi. Bagi kanak-kanak lelaki ialah dua ekor kambing manakala kanak-kanak perempuan satu ekor kambing.Walaubagaimanapun harus menyembelih seekor sahaja untuk anak lelaki kerana Rasulullah SAW pernah melakukan dengan menyembelih akikah seekor untuk Hassan dan seekor untuk Husain.
4. Memberi nama yang baik. Ibubapa bertanggungjawab memberi nama yang baik kepada anaknya .Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Di antara hak anak yang mesti ditunaikan oleh bapa tiga perkara: mengelokkan namanya bila ia lahir ,mengajarkannya al-Quran apabila ia matang dan mengahwinkannya apabila ia baligh".
Para ulama menyebutkan bahawa harus menukar nama daripada nama yang buruk maknanya kepada nama yang lebih baik maknanya. Pada hari qiamat nanti semua manusia akan dipanggil dengan nama-namanya di dunia ini.
5. Hak Menyusu. Ibubapa bertanggungjawab menyusukan anaknya terutama dalam dua tahun pertama.Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan ibu itu wajib menyusui anak-anak mereka dalam tempoh dua tahun sempurna bagi mereka yang ingin menyempurnakan susuan tersebut".(Al-baqarah 233)
6. Mengkhatannya. Berkhatan adalah satu amalan fitrah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :"Amalan fitrah ada lima perkara: mencukur bulu ari-ari, berkhatan, mengunting misai, mencabut bulu ketiak dan mengerat kuku. Menurut para ulama hokum khatan ini adalah sunat bagi bayi lelaki dan merupakan kemuliaan bagi bayi perempuan.Walaupun begitu terdapat perbezaan ulama tentang hukumnya iaitu ada tiga pendapat:
i. Wajib khatan bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan. Ini merupakan pendapat Imam Ahmad,Ataa',Ibn Suraih, Rabiah, dan Awza'iy.
ii. Sunat muakkad bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan.
iii. Wajib bagi kanak-kanak lelaki dan sunat bagi kanak-kanak perempuan iaitu pendapat setengah dari golongan ulama al-Syafieyyah.(Kitab Majmuk oleh Imam al-Nawawi,jil 1,hal 365 dan fathul Bari jil 10.hal 340)
Pendapat yang ketiga ini lebih sesuai dengan jamhur ulama yang mengatakan bahawa khatan adalah sunat muakkad bagi kanak-kanak perempuan. Mereka berdalilkan bahawa ia adalah "millah Abina Ibrahim"(mengikut jalan bapa kami nabi Ibrahim) yang telah diperintahkan oleh Allah SWT supaya berkhatan. Bagi kanak-kanak perempuan ,khatan ini dikenali sebagai "khifaadah" dalam bahasa Arab iaitu memotong sedikit dari sebahagian daging antara permukaan atas faraj. Mengikut jamhur ulama ia merupakan kemuliaan bagi kaum wanita. Ini menolak dakwaan yang menyebutkan perkara tersebut merupakan amalan buruk. Rasulullulah SAW telah menyuruh serta menggalakkan kanak-kanak perempuan dikhatan dengan cara-cara tertentu dan jangan berlebihan semasa memotongnya sepertimana dilakukan oleh orang jahiliah.
Memberi Pendidikan dan Ilmu Pengetahuan
Setiap ibubapa bertanggungjawab mendidik anak-anak dengan pendidikan agama supaya anak-anak tersebut menjadi anak yang soleh. Ibubapa perlu menjaga diri kanak-kanak dari perkara yang boleh merosakkan dirinya sama ada dari segi pemikiran dan fizikal. Penekanan kepada pendidikan agama harus diberikan perhatian yang serius dalam pembentukan sahsiah mereka. Islam telah menggariskan panduan dalam mendidik kanak-kanak. Antaranya ialah:
i. Mengajar mengenali sifat-sifat ketuhanan.
Islam menyuruh ibubapa mengajar kanak-kanak supaya mengenali sifat-sifat ketuhanan.Ia merupakan pendidikan awal dan asas dalam pembentukan pemikiran kanak-kanak dan pembinaan akidah yang mantap sejak kecil lagi. Sifat wajib yang kedua puluh tersebut mestilah diajar dengan kefahaman yang mendalam.Kanak-kanak telah dilahirkan dalam keaadan fitrah putih bersih,ibubapanya yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam membentuk indentiti agamanya.
ii. Mengajar cara-cara sembahyang
Ibubapa wajib mendidik anak-anaknya cara bersembahyang sejak kecil lagi. Sabda Rasululluah SAW yang bermaksud :
"Ajarlah anak-anak kamu bersembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukul mereka ketika berusia sepuluh tahun dan asingkan antara mereka dalam tempat tidur.”
iii. Mengajar ilmu pengetahuan
Ibubapa bertanggungjawab mendidik serta memberi pendidikan ilmu pengetahuan yang baik kepada anak-anak .Ibubapa perlu menyemaikan minat untuk mereka membaca,dan cintakan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan ini meliputi segala ilmu yang manfaat kepada mereka dalam menghadapi cabaran hidup. Pada zaman sekarang ,ilmu-ilmu multimedia ,sains dan teknologi perlu dikuasai oleh mereka untuk menghadapi cabaran masa depan.
iv. Mengajar al-Quran
Rasulullah SAW sangat menekankan kepada ibubapa agar mengajarkan al-Quran kepada anak-anak .Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tabrani yang bermaksud :
"Didiklah anak-anak kanu dengan tiga perkara iaitu cintakan nabi kamu, cintakan keluarga nabi kamu dan mengajarkan al-Quran kerana orang yang mendampingi al-Quran akan dinaungi oleh arash Allah pada hari yang tidak ada naungan selian darinya bersama para nabi-nabi dan pembantunya."
v. Mendidik mengenali kejadian ala mini
Ibubapa seharusnya mendidik anak-anak supaya mengenali kejadian ala mini serta mengambil iktibar daripadanya. Manusia perlu memahami hubungannya dengan alam sekeliling yang telah dijadikan oleh Allah untuk manfaat manusia.
vi. Mendidik dengan akhlak yang mulia.
Setiap ibubapa bertanggungjawab mendidik anak-anaknya dengan akhlak yang mulia seperti bersifat amanah, jujur, ikhlas, menghormati orang tua, menunaikan haji, bercakap benar, beradab ketika makan dan minum, memilih makanan yang halal, suka kepada perbuatan kebajikan dan ma'aruf, sentiasa mencari kebenaran dan keadilan, benci sifat keji, kezaliman dan kerosakan harta benda. Islam juga menyeru ibubapa supaya mengajar anak-anak meminta izin sebelum memasuki bilik ibubapa dalam waktu-waktu yang tertentu. Selain dari itu, ibubapa haruslah menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak.
vii. Pembentukan tubuh badan yang sihat dan kuat.
Islam menggalakkan kanak-kanak dilatih sejak kecil lagi dengan latihan jasmani supaya kanak-kanak tersebut menjadi sihat dan kuat.Pepatah arab ada menyebutkan :"akal yang baik lahir dari tubuh badan yang sihat".
Hukum Penggunaan Tabung Uji
Penggunaan tabung uji bermaksud melakukan proses persenyawaan air mani lelaki ke dalam rahim perempuan bukan dengan cara hubungan jenis. Para ulama berpendapat seperti berikut:
1. Jika penggunaan tabung uji ini berlaku antara suami dengan isteri yang sah maka adalah harus dan jika berlaku selain dari suaminya maka adalah haram sama ada ia bersetuju atau tidak.
2. Jika air mani suami isteri itu diletakkan ke dalam rahim perempuan yang lain, maka adalah haram juga kerana bercampur nasab sama ada hendak dinasabkan kepada suami isteri tersebut atau kepada orang yang mengandungkannya.(ibu tumpang)
Hukum menggugurkan kandungan Janin.
Para ulama golongan shafie telah bersepakat bahawa peguguran kandungan janin adalah diharamkan apabila janin itu telah ditiupkan roh iaitu selepas 120 hari atau lebih dari 4 bulan.J ika sebelum ditiupkan roh,maka terdapat dua pandapat ulama iaitu: pendapat pertama menyebutkan bahawa haran sejak percampuran air mani lelaki dan perempuan sama ada sebelum ditiupkan roh atau selepasnya. Sementara pendapat kedua menyebutkan bahawa harus sebelum ditiupkan roh dan haram secara mutlak selepas ditiupkan roh.(Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin oleh Zabidi,jil 6,hal 188 dan Ihya'Ulmuddin oleh Imam al-Ghazali,jil. 2 hal. 47)
Imam al-Ramli membuat kesimpulan di dalam kitabnya "Nihayatul Muhtaj" selepas mengambil pendapat Imam al-Ghazali yang mengharamkan pengguguran kandungan dengan menyatakan bahawa pendapat yang rajah (yang paling sesuai ) ialah haram secara mutlak selepas ditiupkan roh dan harus sebelum itu.(Nihayul Muhtaj oleh Imam al-Ramli ,jil.8,hal.416.Dipetik dari kitab Darurat fi Syariat Islamiyyah oleh Mahmud Muhammad Abdul Aziz,hal.172)
Penulis bersetuju dengan pandangan diatas dan harus menggugurkan kandungan tersebut selepas 4 bulan sekiranya janin tersebut boleh mendatangkan kemudaratan kepada ibu yang mengandungkannya dan perkara ini mesti disahkan oleh doctor yang berwibawa dan dipercayai kebenarannya.
Ibu juga bertanggungjawab memelihara janinnya dari keguguran dan diharuskannya berbuka puasa jika dikhuatirkan boleh membawa mudarat terhadap diri dan janinnya. Islam juga tidak membenarkan melakukan qisas (hukuman bunuh) dan lain-lain hukuman dalam keadaan seseorang ibu yang mengandung. Jika ibu tersebut itu mati sementara janinnya itu hidup, maka harus dikeluarkan janin tersebut.
Anak Yatim
Anak yatim adalah anak yang kematian ibubapa atau salah seorang daripadanya semasa ia kecil atau belum baligh atau anak yang kematian bapanya sebelum ia menjangkau umur baligh. Islam mewasiatkan kepada umat manusia supaya melakukan hubungan baik dengan anak yatim, memberi perlindungan dan pengajaran ynag rapi serta memberi hak-hak mereka. Firman allah SWT yang bermaksud:
"Oleh sebab itu ,maka anak yatim janganlah kamu hinakan."(al-Dhuha 9)" Tahukah engkau orang yang mendustakan agama? Iaitu orang yang menengking anak yatim."(al-Ma'un 1-2).
Islam juga menegah sama sekali memakan harta anak yatim dengan cara zalim seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Nisa' ayat 6.
Kesimpulan
Peranan masyarakat amat penting dalam mendidik kanak-kanak supaya mencorak masa depan mereka. Mereka merupakan aset yang terpenting demi kesinambungan generasi kini. Gejala-gejala yang berlaku seperti penderaan kanak-kanak, lari dari rumah, gadis belasan tahun dijadikan pelacur, kanak-kanak terpaksa menjadi tenaga buruh dan seks bebas dikalangan remaja harus dibendung dengan segera. Ia memerlukan kepada peranan seluruh masyarakat, badan-badan sukarelawan, badan-badan dakwah, pertubuhan-pertubuhan NGO dan pihak pemerintah bagi mengatasi perkara ini.
Untuk mengatasi masalah ini disarankan:
1. Memberi kefahaman kepada ibubapa mengenai pentingnya pendidikan agama dalam institusi keluarga dengan memupuk nilai-nilai murni dan sejagat.
2. Badan-badan dakwah dan sukarelawan, pertubuhan-pertubuhan NGO harus mempergiatkan aktiviti bersama para remaja dengan memberi panduan dalam membina masa depan mereka.
3. Seluruh masyarakat seharusnya bermuafakat bagi membentuk auasana harmonis,kasih sayang dan aktif dalam proses pembinaan diri kanak-kanak.
Kita merasa hairan kepada orang yang ingin memperjuangkan hak kanak-kanak tetapi mereka menghalalkan "hubungan perzinaan" kerana untuk melahirkan kanak-kanak yang mantap seharusnya bermula dari ikatan perkahwinan yang sah. Begitu juga institusi kekeluargaan yang kukuh merupakan amanah dari Allah Yang Maha Kuasa dan anak yang soleh itu akan memberi kebahagiaan untuk ibubapanya di dunia dan di akhirat. Di negara umat Islam terdapat kanak-kanak yang buta huruf, menjadi buruh kasar dan tidak ada perlindungan yang khas bagi mereka. Adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk memastikan kesinambungan kekuatan zuriat-zuriat mereka dalam menempuh alaf baru.
No comments:
Post a Comment