By: Osman Affan
Posted by: Cikgu Muna
Ada 10 perkara untuk skor 100% markah dalam peperiksaan:
1)Pergi tuisyen
2)Buat kerja sekolah
3)Buat latih tubi
4)Pergi perpustakaan
5)Beli buku
6)Belajar di rumah kawan
7)Belajar sendiri di rumah
8)Jumpa dan tanya guru
9)Jumpa dan tanya kawan
10)Sediakan alat tulis yang sempurna
Dalam 10 perkara yang dilakukan ini, sebenarnya ada lebih kurang 2 perkara yang akan menyumbang kepada 80% daripada markah yang bakal kita perolehi. Aktiviti yang mana satu agaknya?
Ia terpulang kepada individu. Ada individu yang perlu lakukan aktiviti latih tubi dan belajar sendiri di rumah untuk dapat 80% markah dan ada individu yang perlu buat kerja sekolah dan jumpa guru untuk dapat 80%. Namun apa yang penting ialah anda perlu fikirkan aktiviti apakah yang benar-benar menyumbang kepada markah yang bakal anda perolehi. Jadi sekarang, cuba senaraikan semua aktiviti yang anda lakukan setiap hari untuk skor A dalam peperiksaan. Cuba kenal pasti aktiviti manakah yang tergolong dalam 20% aktiviti penting yang saya terangkan ini?
Setelah anda faham konsep bahawa ada lebih kurang 20% aktiviti yang benar-benar membantu kita mencapai matlamat skor A dalam peperiksaan, anda juga harus sedar bahawa kebanyakan pelajar menghabiskan masa mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak penting kepada mereka.
Sebagai contoh, ada pelajar yang bersungguh-sungguh untuk pergi ke rumah kawan dan belajar bersama. Namun apabila dikaji semula, aktiviti itu sebenarnya hanya membuang masa dan tenaga kerana
1)Banyak masa terbuang semasa hendak pergi ke rumah kawan tersebut.
2)Banyak tenaga terbuang dalam perjalanan ke rumah kawan tersebut.
3)Banyak masa terbuang semasa hendak bersedia untuk mula belajar.
4)Banyak masa terbuang apabila kawan-kawan mula buka cerita tentang sesuatu yang tidak berkaitan.
5)Banyak masa terbuang apabila anda dan kawan-kawan tidak ada ‘mood’ untuk belajar.
Lebih menyedihkan, kadangkala perjalanan untuk ke rumah kawan tersebut memakan masa lebih lama daripada masa yang diambil untuk belajar. Akibatnya, anda rasa sudah banyak luangkan masa untuk belajar tetapi hairan apabila tidak dapat skor dalam peperiksaan. Adakah ia menghairankan jika pelajar ini tidak dapat skor A? Tidak sebenarnya. Ia tidak menghairankan kerana terlalu banyak masa yang dihabiskan untuk sesuatu yang tidak menyumbang kepada markah yang bakal diperolehi.
Tips ini juga merupakan satu rahsia mengapa pelajar cemerlang selalunya kelihatan seperti belajar sedikit atau tidak belajar tetapi mampu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan. Ada ramai pelajar cemerlang yang sibuk dengan aktiviti kurikulum sekolah tetapi masih mampu skor A dalam peperiksaan dengan agak mudah. Ini adalah kerana mereka tahu untuk fokus kepada aktiviti yang menyumbang kepada matlamat yang mereka ingin capai. Mereka telah kenal pasti aktiviti mana yang penting untuk mereka dan luangkan lebih banyak masa untuk aktiviti tersebut.
Cuba kenal pasti aktiviti yang penting untuk diri kita skor A dalam peperiksaan. Kemudian luangkan lebih banyak masa untuk lakukan aktiviti tersebut. Dapatkan bantuan dan nasihat ibu bapa dan guru untuk mengenal pasti aktiviti-aktiviti ini. Saya percaya anda akan dapat lihat perbezaannya dari segi pengurusan masa dan juga pencapaian anda dalam bidang akademik nanti.
Selamat menguruskan masa!
No comments:
Post a Comment