Welcome to my blog!

~Great Minds talk about ideas, Average Minds talk about events, Small Minds talk about people~

Thursday, December 30, 2010

Sambut Tahun Baru Dengan Bermuhasabah Diri

Oleh: Zamri Bin Zainal Abidin( Institut Kefahaman Islam Malaysia)



SETIAP kali tiba 1 Januari, soalan apakah sikap kita sebagai umat Islam dalam menyambutnya sering ditanya dan selalunya, ia akan dijawab dengan beberapa jawapan atau maklum balas segera yang biasa didengar selama ini. Antaranya ialah haram menyambut kedatangan tahun baru Masihi yang bukan tahun Islam.

Tulisan ini sama sekali tidak bertujuan membincang atau mempertikaikan maklum balas berkenaan tetapi sekadar mengajak pembaca bermuhasabah mengenai hal yang berlegar di sekitar kita seharian. Bukanlah menjadi suatu kesalahan sekiranya kita memperingati kedatangan 1 Januari daripada sudut pergerakan dan peredaran masa. Tuntutan supaya mengambil berat mengenai masa jelas disebut dalam al- Quran sehingga salah satu surah dinamakan al-Asr yang bererti masa.

Firman Allah yang bermaksud:
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; kecuali orang yang beriman dan beramal soleh serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar." (Surah al Ashr, ayat 1 hingga 3).

Begitulah firman Allah yang menuntut manusia sentiasa berhati-hati dalam meniti masa hidup mereka. Semuanya memerlukan nilai pengisian yang tinggi (amal soleh) supaya tidak mengalami kerugian. Tuntutan bermuhasabah amat jelas dalam surah yang ringkas dan padat ini. Sebenarnya, wujud jalinan hubungan istimewa antara perkiraan tahun Masihi dan Hijri (Hijrah) kepada umat Islam. Tahun Masihi dikira menurut `peredaran' matahari (tarikh as-Syamsi) sementara perkiraan tahun Hijri pula berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari).

Islam tidak menolak salah satu perkiraan tarikh berkenaan dalam kehidupan manusia. Perkiraan tarikh as-syamsi untuk menentukan musim kerja atau aktiviti manusia. Daripada tarikh inilah manusia mengenal peredaran musim panas, sejuk, menyemai atau menuai sementara tarikh al-Qamari pula menentukan masa ibadat. Peredaran yang tidak sama antara tarikh as-Syamsi dan al-Qamari menyebabkan umat Islam dapat merasai musim berbeza setiap kali menunaikan ibadat tertentu. Contohnya musim haji dan puasa. Mungkin pada tahun ini, umat Islam berpuasa atau menunaikan haji dalam musim sejuk tetapi beberapa tahun kemudian pula dalam musim panas. Hal ini memberikan cabaran berbeza kepada mereka ketika menunaikan ibadat berkenaan. Di sinilah terserlah cabaran jihad ketika menunaikan ibadat.

Kepentingan menghitung tarikh as-Syamsi terserlah dalam al-Quran melalui cerita Nabi Yusuf ketika membuat tafsiran mimpi raja Mesir.

Al-Quran menerusi ayat 46 hingga 49 Surah Yusuf menceritakan kisah berkenaan sebagai:

"(Setelah dia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): `Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! Tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat) tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang yang mengutusku, moga mereka dapat mengetahui tafsirannya'. Yusuf menjawab: `Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah ia pada tangkai- tangkainya; kecuali sedikit daripada bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan kamu simpan (untuk dijadikan benih). Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)."

Kepentingan memerhati perubahan musim seperti yang diceritakan dalam ayat di atas berdasarkan tarikh as-Syamsi iaitu mengenal pasti perubahan cuaca untuk memudahkan aktiviti pertanian selepas mendapat isyarat daripada mimpi raja.

Menyambut tahun baru ini dengan ibadat, itulah yang dapat dikatakan sebagai jawapan kepada soalan awal tadi. Ibadat yang dimaksudkan ialah muhasabah. Muhasabah harus bermula daripada diri sendiri, menilai dan memerhatikan segala aktiviti hidup yang sudah dilakukan sama ada berjaya atau sebaliknya dapat meningkatkan kualiti diri. Kualiti yang dimaksudkan ialah kualiti yang setara dengan apa yang Allah tetapkan standardnya iaitu amal soleh. Amal soleh yang dimaksudkan bukan sekadar amalan berbentuk ritual seperti sembahyang, puasa atau haji, sebaliknya semua aktiviti dan amalan harian termasuk cara berhubung dengan ahli keluarga, masyarakat, cara menilai atau mena'kul sesuatu perkara.

Setiap kali tiba tahun baru kita menanam azam yang bukan sedikit. Ada yang tidak sabar menunggu kiraan detik akhir menjelang tahun baru, mengadakan pesta, konsert dan sebagainya khusus untuk menyambut tahun baru. Tidak ramai sedar atau terfikir untuk menganjurkan majlis muhasabah bagi menilai semula aktiviti atau produktiviti selama setahun berlalu. Mungkin majlis seperti ini boleh dianjurkan pada peringkat organisasi, masyarakat setempat sehinggalah ke peringkat keluarga. Sekiranya dilakukan majlis muhasabah di peringkat organisasi perniagaan atau keluarga, salah satu agenda yang patut dibincangkan ialah pengiraan zakat. Seelok-eloknya akhiri pertemuan muhasabah ini dengan doa selamat atau tahlil atau boleh juga dilakukan solat hajat memohon diberi rezeki yang lebih dalam musim yang akan datang. Suasana ibadat dan ukhuwah akan terserlah daripada amalan seperti ini.


sumber: http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=54&cmd=resetall

No comments:

Post a Comment